Bakal anak kedua kematangan Diana Danielle

PROSES kehamilan sememangnya saat yang cukup indah bagi golongan wanita. Menggendong satu nyawa lain di dalam perut selama tempoh sembilan bulan merupakan fasa terbahagia bagi yang bergelar ibu.

Biarpun kondisi tubuh badannya masih sama sewaktu mengandungkan anak sulung pada 2013, pelakon cantik Diana Danielle menyifatkan proses kehamilan kedua yang sedang dijalani kini menghadirkan perspektif baharu dalam hidupnya.

Kali ini, pilihan untuk fokus kepada kandungan juga membuatkan pelakon drama Talak itu terpaksa memperlahankan rentak karier buat seketika.

Zuriat kedua

Usianya baru 24 tahun, namun kehidupannya sudah bersimbah hujan rezeki yang menyuburkan. Ketika anak pertama Muhammad sedang galak membesar, Diana kini menghitung hari untuk melahirkan anak kedua yang dijangka lahir pada November nanti.

Sedang asyik berceloteh tentang kehamilan, nafasnya turun-naik. Adakala, dia berhenti untuk menarik nafas panjang sebelum menyambung cerita.

“Dalam keadaan begini, semput sedikit menjadi situasi biasa. Tetapi, Alhamdulillah, tubuh saya masih kuat walaupun kandungan sudah berusia lebih tujuh bulan. Sama seperti mengandungkan Muhammad dahulu, saya tidak berdepan alahan atau mengidam makanan yang bukan-bukan.

“Mungkin kerana saya sudah terbiasa bekerja keras tanpa mengira waktu, jadi apabila mengandung ia tidak memberi halangan untuk kekal cerdas,” selorohnya ketika ditemui usai majlis pelancaran Luxuria Cosmetic di Hotel Royale Chulan Damansara, baru-baru ini.

Tidak merancang untuk menambah ahli baharu dalam waktu terdekat, isteri kepada aktor Farid Kamil itu menerima kehadiran orang keempat dalam keluarga kecilnya dengan gembira. Sementelah, putera sulungnya, Muhammad juga memberi tanda-tanda positif menerima kehadiran adiknya.

“Saya dan Farid memang sepakat untuk tidak mahu mengetahui jantina bayi. Kami tidak kisah lelaki atau perempuan, asalkan bayi ini keluar dalam keadaan sihat dan sempurna sifat.

“Muhammad juga sangat tidak sabar menantikan kelahiran adiknya. Mungkin kerana sudah dua tahun bersendirian, jadi secara tidak langsung begitu teruja apabila mengetahui rakan sepermainannya akan lahir tidak lama lagi,” tuturnya tersenyum bahagia.

Gaya sihat

Ditanya tentang perancangan selepas bersalin, Diana memilih untuk menjalani proses berpantang secara tradisional. Dia merasakan itu cara terbaik bagi memastikan kesihatannya kekal baik pada usia tua kelak.

“Sengaja saya memilih untuk berpantang secara tradisional kerana berasakan ia cara terbaik untuk memastikan kesihatan saya tidak terjejas selepas melahirkan anak kedua.

“Memandangkan ini merupakan zuriat kedua, jadi proses kelahiran kelak sebenarnya memberi kesan kepada tubuh badan. Golongan wanita yang mengalami masalah berat badan dan kesihatan selepas melahirkan anak merupakan perkara biasa,” tutur pelakon filem Magika itu ceria.

Realitinya, meskipun tidak mengalami masalah kehamilan, tetapi Diana sebenarnya bukan seorang yang mengamalkan pemakanan berasaskan sayuran.

“Kalau orang tanya saya tips untuk kekal cerdas sepanjang tempoh kehamilan, jawapannya mudah. Saya hanya makan dan lakukan perkara yang sama seperti wanita lain di luar sana.

“Jujurnya, saya bukanlah individu yang gemarkan sayuran tetapi tetap gemarkan jus berasaskan buah atau sayur hijau. Caranya, saya hanya mengisarkan beberapa sayur-sayuran digemari untuk dibuat jus. Dengan cara itu, saya masih mampu mendapt vitamin walaupun tidak perlu memakan sayur-sayuran seperti biasa,” ceritanya yang sudah mengalami peningkatan berat badan sebanyak 10 kilogram.

Selain diri sendiri, suami juga merupakan orang pertama yang menjadi pemantau tetap sepanjang kehamilan keduanya ini. Mengakui Farid agak selektif dan berjaga-jaga dalam pemilihan makanan dan gaya hidupnya.

“Kalau ada masa, saya akan melakukan senaman yoga dan berenang. Kalau difikirkan semula, saya sangat bertuah kerana mempunyai masa dan ruang kerjaya yang fleksibel. Saya boleh berehat pada bila-bila masa dan ini memberi kelebihan untuk saya memberi fokus kepada kehamilan secara total.

“Jadi, tidak ada alasan untuk saya merungut dan tidak boleh menjaga kesihatan dengan baik,” ujarnya.

Bisnes

Menyelak halaman kerjayanya, selain lakonan dan rumah tangga menjadi keutamaan, Diana juga tidak menutup sayap hidup kehidupannya terhadap bidang perniagaan. Meskipun tidak pernah terfikir untuk membuka empayar perniagaan sendiri, tetapi pintu percaturan untuk terlibat dalam dunia perniagaan nampaknya terbuka untuk pelakon berdarah Melayu-Amerika itu.

Terbaharu, Diana selamat melancarkan produk yang diasaskan sendiri, Luxuria Cosmetic dengan kerjasama portal beli-belah terkemuka, Lazada.

Bercerita lanjut mengenai produk yang diasaskan bersama rakan baiknya Harveen Dhaliwal, Diana punya kisah tersendiri untuk dikongsi. Menurutnya, mereka mempunyai minat yang sama iaitu menyukai haiwan dan alam semula jadi.

Disebabkan itu, mereka menyedari kesukaran mencari sesuatu produk yang bebas alkohol atau berasaskan lemak haiwan adalah sesuatu yang amat sukar.

“Sebelum ini saya sering mengalami masalah kulit apabila menggunakan produk solekan lain. Sama juga dengan Harveen yang sering berasa sangsi dengan kandungan bahan dalam kebanyakan produk di pasaran yang yang kebanyakannya ada asas haiwan.

“Dari situ tercetusnya idea daripada kami untuk menghasilkan produk solekan Luxuria yang mesra pengguna, bebas daripada bahan berunsur alkohol dan lemak haiwan dan menggunakan bahan semula jadi,” ujarnya ceria.

Ironi, kerana kurang promosi, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa produk tersebut sudah berada di pasaran sejak tiga tahun lalu.

Selepas dilamar sebuah portal beli-belah terkemuka, Lazada, Diana tidak perlu berfikir panjang untuk melebarkan sayap produknya ke seluruh negara.

“Jujurnya, tawaran daripada Lazada datang secara mengejut, tetapi saya menerimanya dengan senang hati kerana merasakan kerjasama ini akan menerbitkan kejayaan bagi kedua-dua pihak,” tambahnya yang masih belum merancang untuk membuka butik bagi produk tersebut.

0 Response to "Bakal anak kedua kematangan Diana Danielle"

Post a Comment