Sepanjang kerjaya seninya, Datuk Rahim Razali dilihat lebih sinonim sebagai pelakon serius berbanding komedi. Namun drama Mak Cun, arahan Erma Fatima yang kini bakal melangkah ke versi teater bakal mengubah sisi seninya. Memegang watak Pak Akob yang menjadi rebutan Mak Cun dan Zeenat Manisa, dia akan menyerlahkan sisi komedi yang ada dalam dirinya.
Aktivis teater yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Abang pada Festival Filem Malaysia (FFM) kedua ketika berusia 38 tahun itu, bakal melakonkan teater komedi pertama dalam sejarah hidup dan seninya.
Ada sebab Rahim menerima tawaran itu, disamping turut menyangkal karya Mak Cun itu sebagai sebuah naskhah kurang cerdik dan lawak bodoh semata-mata. Bertemunya baru-baru ini pada sidang media teater Mak Cun di Istana Budaya, pemenang Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 itu berkongsi ceritanya.
"Memang saya jarang berlakon naskhah komedi. Tetapi karya Mak Cun ini membuatkan saya tertarik dan berminat. Saya tak bersetuju jika ada yang melihat karya ini tidak cerdik. "Sejujurnya saya melihat ia sebagai sebuah karya yang bukan hanya lawak kosong.
Komedinya timbul dalam cerita tetapi ia tak dibuat-buat. "Cuma saya sendiri tak tahu bila masanya Erma merancang untuk membawakan ia ke pentas teater. Ini cabaran saya.
Ia cukup mengujakan. Selain itu karya Mak Cun juga saya pandang sebagai sebuah karya keseluruhan cerita. "Ia bukan hanya lawak slapstik atau berdasarkan keadaan.
Kejadian dan pergolakan yang terjadi dekat dengan kehidupan seharian. "Lihat saja bagaimana Mak Cun lakonan Erma Fatima, ia sebenarnya memaparkan semangat juang wanita yang mahu berniaga.
Ubat sejuk itu sendiri menjadi simbolik produk lama yang mahu dikomersialkan," kata Pemenang Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik menerusi filem Matinya Seorang Patriot pada FFM5. Kenapa sedia bekerjasama dengan Erma? "Banyak sebab sebenarnya kenapa saya bersetuju bekerjasama dengannya.
Dia sendiri umpama anak didik saya. Macam anak saya. Dia anak yang baik. Dia pernah berlakon teater tulisan dan arahan saya berjudul Kelas 2020 yang dipentaskan di MATIC pada 1992. "Erma Fatima melakonkan watak seorang pelajar bernama Intan Cahaya.
Filem Puteri arahan saya turut menobatkannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di FFM7. "Melihat fasa peralihan seni Erma, saya lihat dia seperti saya sendiri.
Pendek kata dia mengikut jejak saya. Saya tumpang bangga dengan apa yang dicapainya kini," katanya yang turut pernah mengembangkan bakatnya bukan sekadar pelakon tetapi sebagai pengarah filem, aktivis teater, pengulas sukan dan pengacara.
Bagi yang berminat menonton teater Mak Cun yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya boleh melayari www.redtix.airasia.com.
Ia akan dipentaskan pada 14 hingga 22 November ini. Ia juga dibintangi Erma Fatima, Datin Umie Aida, Nora Danish Dafi Ismail, Ungku Ismail, Betty Rahmad dan Balkisyh Semundur Khan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Dato' Rahim Razali berlakon komedi ke?"
Post a Comment