Susah senang Awie tetap bersama Wings

Bermula sebagai pancaragam di sekolah, empat anak muda, Awie, Jojet, Eddie dan Syam menubuh­kan satu kumpulan pada 1985 mendendangkan lagu berentak rock ‘N roll. Pertukaran ahli berlaku apabila Jojet menyertai kumpulan Gersang.

Pada 1987, mereka ditawar merakamkan album bawah label ASP dan Wings digunakan sebagai nama kumpulan mengambil idea Awie kerana orang ramai selalu menegurnya berikutan lengannya berotot seperti ‘sesayap’ (wing).

Mereka yang diuruskan Ali Bakar ketika itu, bertungkus-lumus menyiapkan album pertama, Belenggu Irama dengan bantuan anggota baru, Black (bekas anggota kumpulan Babylon). Bersandarkan lagu ciptaan M Nasir dan J S Kevin, album itu mendapat sambutan menggalakkan dan lagu Belenggu Irama, Intan Ku Kesepian dan Peronda Jaket Biru menjadi kegilaan remaja ketika itu.

Sekali lagi pertukaran ahli berlaku apabila Sham yang bermain gitar, menarik diri untuk menyertai kumpulan CRK. Kekosongan itu digantikan Joe, gitaris kidal belasan tahun yang sebelum itu menganggotai kumpulan rock Scandals.


Sejarah pertukaran penyanyi utama Wings juga sangat menarik. Awie meninggalkan Wings pada 1993 pada kala populariti memuncak lantaran kejayaan album Bazooka Penaka. Dua tahun kemudian, baru Wings menemui Mel selaku vokalis menggantikan Awie, dan mereka tampil dengan album Orang Asing.

Mel keluar dan tempatnya diambil Mus, bekas penyanyi utama May dan menghasilkan enam album Wings, yang ter­akhir, Mr. Barbarik. Mus kembali ke pangkuan May dan Awie bersatu semula dengan Wings bagi album Naga Kramat dan mereka kekal bersama hingga kini.
Majlis perkahwinan Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa menjadi titik permulaan mereka bersatu apabila pada resepsi diadakan, Awie diundang untuk bergabung bersama Wings menghiburkan tetamu.

“Waktu itu baru masing-masing sedar yang kami sentiasa memerlukan satu sama lain,” kata Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman.
Dia bersyukur walaupun melalui banyak jatuh bangun, pahit dan manis bersama Wings, mereka tetap utuh bersama hingga kini. Dia juga gembira kerana Wings bakal beraksi dalam konsert khas hujung bulan ini.

Katanya, mereka akan menampilkan kejutan apabila beberapa artis yang selama ini pernah bekerjasama dengan mereka turut sama menjayakan persembahan.
“Kami mengharapkan peminat yang membesar bersama-sama Wings akan hadir. Konsert ini dianjurkan untuk meraikan mereka sebenarnya, sebab kalau tiada mereka Wings mungkin tidak akan ada lagi hingga hari ini.

“Kami mensasarkan 30,000 hadirin membanjiri Stadium Merdeka untuk meraikan 30 tahun penubuhan Wings,” katanya.


0 Response to "Susah senang Awie tetap bersama Wings"

Post a Comment