JELITA: Demi memberikan kelainan kepada lakonan terbarunya dalam drama Tersuka Tanpa Sengaja yang kini sedang menjalani penggambaran, Amyra Rosli, 24, terpaksa mengorbankan rambut panjangnya yang disimpan selama empat tahun.
Ada rasa sayang di hatinya tetapi itu adalah cabarannya untuk menjadi artis serba boleh yang sanggup melakukan apa saja bagi menjiwai watak yang diberi.
“Apabila difikirkan semula kerja lakonan itu lebih penting, saya turutkan saja permintaan produser drama itu, Datuk Rosyam Nor untuk tampil dengan ‘wajah’ baru. Rambut saya juga cepat panjang,” katanya.
Tersuka Tanpa Sengaja adalah adaptasi daripada novel yang turut dilakonkan Amar Baharin dan Emma Maembong.
“Saya juga sudah beberapa kali berlakon drama yang disiarkan di Astro dan bagus juga jika saya buat kelainan kepada penonton saluran itu kali ini.
“Sudah tiga tahun saya berlakon, begitu pantas masa berlalu dan saya mesti mencuba semua perkara untuk melengkapkan pengalaman. Saya juga sudah berlakon teater iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, yang dipentaskan di Istana Budaya, baru-baru ini
“Saya berharap dalam setiap pengalaman yang dilalui menjadikan saya anak seni yang matang dan bijak,” katanya.
Perkembangan lain, bersemangat melihat pelakon lain berniaga dan ada yang mengeluarkan jenama sendiri, Amyra juga tidak terkecuali. Bersama rakan kongsinya, mereka ada mengeluarkan baju tetapi dikhususkan jualan untuk hari raya saja.
“Untuk berniaga sendiri dengan jenama sendiri, saya perlu ada ilmu perniagaan dan saya sedang belajar dengan mereka yang sudah berjaya seperti Fizo Omar,” katanya.
Amyra juga beruntung kerana ibunya , Noor Zarida Ahmad yang amat berpengalaman dalam industri hiburan tanah air, adalah insan yang bertanggungjawab merencanakan hala tuju kerjaya seninya.
“Bohonglah kalau saya tidak berasa apa-apa apabila digosip dan dikritik tetapi mama selalu saja memberikan semangat. Katanya, jangan difikirkan sangat dengan kata-kata orang kerana saya berlakon untuk mencari rezeki.
“Saya tidak pernah melawan cakap mama kerana dia tahu apa yang terbaik untuk saya,” katanya.
Terbaru Amyra baru saja dilantik sebagai ‘Faces of Fareeda’. Apabila dia terima tawaran itu, pasti ada cakap-cakap di belakang kerana dia tidak bertudung.
Menjelaskan perkara itu, setiap tawaran yang datang adalah rezekinya dan tujuan Fareeda melantiknya menjadi ‘wajah baru’ jenama itu untuk menarik lebih ramai pelanggan remaja.
“Kerjasama ini adalah lebih kepada bentuk saling bantu-membantu dan kontrak saya bersama mereka untuk permulaan ini selama tiga bulan dulu dan jika dalam jangka waktu itu ada watak yang perlukan saya bertudung, saya akan menggayakan tudung Fareeda.
“Apabila saya sanggup bekerjasama dengan Fareeda, saya kena jaga diri saya agar selari dengan apa yang dibuat.
Ia bukanlah sekadar menggayakan tudung itu tetapi lebih daripada itu iaitu tanggungjawab saya sebagai wanita Islam,” katanya.
Suatu masa nanti, ujar Amyra dia akan bertudung juga tetapi katanya, biarlah ketika itu hatinya benar-benar terbuka untuk berhijrah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Amyra Rosli potong rambut akhirnya"
Post a Comment