Berbanding dunia pengacaraan, ibu tunggal anak dua, Rita Rudaini dilihat lebih menyerlah sebagai pelakon
Pun begitu, pelakon kelahiran Perlis itu sebenarnya pernah berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan pada awal kerjaya seninya.
Ketika itu, Rita memberitahu ,dia pernah mengacarakan sebuah program berpaksikan muzik.
Baru-baru ini jika ada yang mengikuti perkembangan ibu jelita kepada dua hero kesayangannya, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4 ini di laman Instagram, dia ada memuat naik gambarnya bersama orang penting produksi Zeel Production iaitu Fadzil Teh mengenai proses 'pitching' sebuah projek di saluran Astro.
Itu juga adalah pengalaman pertama Rita melalui proses 'pitching' bersama stesen TV
Bagaimanapun tidak dinyatakan dengan jelas apakah projek yang diusahakan bersama produksi berkenaan.
Selepas dirisik-risik, Rita sebenarnya mencetuskan idea untuk menerbitkan program majalah kewanitaan di saluran ASTRO.
Tajuk sementara program itu ialah Emansipasi. Program yang bakal menyaksikan Rita sebagai pengacara itu, ironinya, berkait dengan pengalaman hidupnya yang bergelar sebagai ibu tunggal dan melalui fasa pergolakan dalam rumah tangga.
Pendek kata ia bertunjangkan isu wanita yang sering menjadi mangsa penindasan.
"Program ini memang tercetus daripada pengalaman saya melalui rumah tangga.
"Saya sendiri pernah lemah semangat, hati hancur kerana bukan senang untuk bangkit semula meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal. Saya sendiri terpaksa melalui prosiding mahkamah mendapatkan hak dan keadilan diri.
"Menerusi pengamatan, apa yang saya lihat golongan wanita sendiri menjadi mangsa aniaya lelaki. Jadi berbekalkan sisi hidup itulah termasuk nasib yang melanda golongan wanita di luar sana, saya juga mahu mereka bangkit. Air mata bukan jalan penyelesaian.
"Saya mahu wanita di luar sana yang teraniaya dan ditindas kena saya diri mereka lebih daripada segala-galanya," katanya.
Rita berkata, dia mahu menegaskan bahawa wanita di luar sana perlu tahu dan sedar mereka ada hak serta keistimewaan yang sudah ditetapkan Tuhan dalam al-Quran. Mesej sebegitu yang cuba disampaikan menerusi program majalah kewanitaan itu.
"Jangan terus jadi lemah apabila ditindas. Jangan biarkan diri jadi seperti kain buruk. Dapatkan kembali hak anda, jika yakin berada di tempat yang benar. Semua ini untuk masa hadapan anda dan anak.
"Pergi ke saluran yang betul seperti mahkamah contohnya. Pada saya, perempuan itu bukan wanita lemah tetapi kita sendiri yang melemahkan diri," katanya dengan perasaan berkobar-kobar sambil memberitahu penggambaran program itu dijangka dilakukan pada tahun ini juga.
Mengenai kehidupan sebenarnya, pada Oktober lalu, Aidil Zafuan (bekas suami) diarah membayar tuntutan mutaah sebanyak RM30,000 kepada Rita.
Hakim Mahkamah Syarie Mawardi Che Man memutuskan demikian selepas meneliti dan berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak sepanjang prosiding perbicaraan kes.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Rita Rudaini bakal hos program wanita di tv"
Post a Comment