Koleksi busana Muslimah dari Yuna yang terbaru

KUALA LUMPUR: Penyanyi tempatan yang sedang membina nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai bakal melancarkan koleksi busana Muslimah dengan kerjasama pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat untuk pasaran Aidilfitri nanti. Yuna, 29, berkata, kerjasamanya dengan Hatta sudah lama terjalin apabila pereka itu sering menghasilkan busana untuk digayakannya ketika menghadiri majlis anugerah atau menjayakan persembahan.

"Kami merancang projek yang diberi nama, Yuna X Hatta sejak awal tahun lalu. Meskipun masa saya banyak dihabiskan di AS untuk membina kerjaya di sana, kami sering berhubung.

E-mel dan aplikasi, WhatsApp menjadi medium untuk kami berbincang serta bertukar idea. "Kami juga serasi kerana Hatta memahami cita rasa saya dalam berfesyen. Justeru, tidak sukar untuk kami menjalin kerjasama kerana mempunyai banyak persamaan terutama dalam fesyen dan muzik," katanya.

Sementara itu, berbicara mengenai album terbaharunya, Yuna menyatakan, produksi ketiganya dijangka memasuki pasaran AS menjelang pertengahan tahun ini. Album yang diberi judul Chapter itu memuatkan 11 lagu, termasuk Crush, duetnya bersama penyanyi terkenal, Usher.

"Saya bertuah kerana album ini mendapat sentuhan ramai produser antarabangsa, antaranya Fisticuffs yang pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi hebat seperti Miguel, Mariah Carey dan Jhene Aiko.

"Ia memberi pengalaman baharu kerana agak sukar untuk bekerjasama dengan produser di sana yang sangat mementingkan kesempurnaan.

"Secara peribadi, saya berpuas hati dengan dengan keseluruhan pembikinan album ini. Saya juga memberi nafas baharu dengan mengetengahkan genre muzik R&B dan urban yang belum pernah dicuba dalam pembikinan album terdahulu.

"Saya berbangga apabila Usher sudi bekerjasama menerusi Crush. Peluang ini datang tanpa diduga. Saya hanya mencuba nasib dengan menghantar muzik demo kepadanya. Tidak lama selepas itu, Usher menghantar lagu itu yang sudah siap dirakam.

"Namun, masih banyak lagi perancangan yang perlu dilakukan sebelum lagu ini menemui peminat," katanya.

0 Response to "Koleksi busana Muslimah dari Yuna yang terbaru"

Post a Comment