Berita Palsu Meninggal Dunia Beri Semangat M. Daud Kilau Untuk Sembuh

KUALA LUMPUR: Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau yang kini sedang menerima rawatan komplikasi membuang air kecil di Hospital Teluk Intan (HTI) tidak marah, malah menerima dengan hati terbuka terhadap berita palsu yang menjadi viral dalam laman sosial kononnya beliau sudah meninggal dunia.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan berharap panjang umur...Saya lebih sihat berbanding ketika mula-mula masuk wad.

"Berita fitnah ini memberi saya lebih keyakinan untuk sembuh cepat dan jumpa peminat dalam masa terdekat ini.

"Saya maafkan pihak yang menyebarkan cerita palsu ini," katanya yang berusia 77 tahun ketika ditemui di Wad 2A, HTI petang tadi.

Sementara itu, anak Daud Kilau, Ahmad Zaini pula menyelar tindakan pihak tertentu yang menyebarkan berita palsu itu sehingga menjadi viral di semua media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp sejak pagi tadi.

Beliau berharap orang ramai termasuk peminat dan juga sanak saudara mendoakan kesihatan bapanya dan bukan melakukan fitnah untuk menjadi popular dan dikenali ramai.

"Sejak tersebarnya berita ini, ibu saya dan juga seluruh ahli keluarga sedih dan terkejut kerana sekarang ini ayah sedang beransur pulih.

Namun, ada pula pihak yang cuba mereka sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

"Saya mahu pihak yang tidak bertanggungjawab itu memadamkan berita itu sebaliknya menyiarkan cerita yang sebenarnya," katanya.

Daud Kilau yang popular dengan lagu Cek Mek Molek itu dimasukkan ke wad HTI Ahad lalu selepas mengadu sukar membuang air kecil.

0 Response to "Berita Palsu Meninggal Dunia Beri Semangat M. Daud Kilau Untuk Sembuh"

Post a Comment