KUALA LUMPUR: Jika disebut nama Tania Hudson, pasti ada yang kurang mengenali mahupun mengingati figura cantik ini.
Bahkan tidak kurang juga yang mengenali wanita berusia 31 tahun ini kerana kakaknya, Natasha Hudson, 33.
Bagaimana ujar Tania, dia tidak berkecil hati sekiranya kelibatnya di dalam industri seni kurang dikenali biarpun dia sudah berkecimpung di dalam bidang lakonan sejak tujuh lalu.
"Tidak dapat dinafikan biarpun sudah tujuh tahun berkecimpung di dalam industri seni, saya kerap tenggelam timbul dengan perjalanan karier disebabkan masalah kesihatan.
"Alhamdulillah kini saya benar-benar sudah pulih dan bersedia untuk kembali aktif sepenuhnya di dalam industri seni.
"Saya harapkan 2016 akan membawa tuah kepada saya," ujarnya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2 bersama pengarah, Syafiq Yusof.
Tania yang sebelum ini pernah menjalani pembedahan otak pada 2008 akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM), iaitu sejenis penyakit melibatkan gumpalan urat yang tidak normal di otak sejak dia masih kecil lagi.
Ujar wanita kacukan Melayu-Inggeris ini, walaupun dia sudah pulih, bagaimanapun dia tetap berhati-hati dengan kesihatannya pada masa akan datang.
"Kalau dulu saya cepat pening kepala, lebih-lebih lagi kalau tak cukup rehat atau tidur. Tapi kini walaupun saya menjalani penggambaran dari pagi hingga pagi, saya tetap jaga kesihatan saya.
"Walaupun kadang-kala rasa penat, tapi saya kuatkan semangat kerana ini adalah kerja saya dan Alhamdulillah setakat ini semuanya okay dan saya enjoy dengan kerja saya," katanya.
Berbicara mengenai wataknya sebagai seorang wartawan dalam filem terbaharu terbitan Skop Production itu, Tania berkata, untuk pertama kalinya dia membawakan watak penting di dalam sebuah filem dan bersyukur kerana diberikan kepercayaan itu oleh Syafiq.
"Sebelum ini ada juga berlakon filem tetapi watak saya tak besar, dan babak pun tak banyak. Tapi untuk filem ini banyak juga babak melibatkan saya walaupun watak utamanya adalah Zizan.
"Bekerjasama dengan pelakon yang majoritinya lelaki dan pelawak juga memberikan pengalaman baharu kepada saya. Memang best dan saya pun kadang kala tak dapat tahan ketawa, lebih-lebih lagi bila ada babak dengan Zizan.
"Saya harap filem ini menjadi permulaan yang baik untuk saya dan selepas ini akan ada tawaran lain yang datang kepada saya," katanya yang mengimpikan untuk berlakon di dalam naskhah bergenre seram.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Tania Hudson berlakon balik"
Post a Comment