Keith Foo impikan anak ramai setelah setahun berkahwin

KUALA LUMPUR: Berbicara perihal peribadinya, Keith yang baru menyambut ulang tahun perkahwinan pertama dengan isterinya, Kim Raymond Foo memohon maaf di atas tindakannya yang merahsiakan hal perkahwinan mereka pada awalnya.

“Saya daftar perkahwinan setahun lalu dan buat resepsi kemudian. Bukan tak mahu beritahu tapi bagi saya hal peribadi tak perlu dicampur dengan soal kerjaya.

“Bagaimanapun saya memohon maaf sekiranya tindakan saya mengecilkan hati mana-mana pihak,” ujarnya.

Bakal mengadakan resepsi kedua untuk peminat dan rakan media, Keith berkata, dia bersyukur dikurniakan isteri seperti Kim yang sangat memahami dirinya.

Bahkan, Kim kini juga menguruskan kerjaya seninya.

“Saya dan Kim memang ada merancang untuk mengadakan resepsi kedua, tapi belum pasti sama ada Februari atau Mac kerana bergantung kepada jadual penggambaran dan kerja saya.

“Bahkan setakat ini, jadual kerja saya sudah penuh sehingga Mei depan.

“Kim juga sangat memberi sokongan terhadap kerjaya saya dan dia sering mengkritik sekiranya lakonan saya tidak berada di tahap yang memuaskan.

“Sangat senang bila dia uruskan kerjaya saya kerana kita banyak berbincang dan memberikan pandangan secara profesional,” katanya.

Mengakui mengimpikan ramai cahaya mata, Keith berkata, dia bersedia untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

“Buat masa ini Kim masih ‘kosong’ dan sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat saya sedia menerima.

“Saya memang sukakan kanak-kanak  dan kalau boleh saya mahukan anak seramai mungkin,” jelasnya.

Keith memberitahu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah filem kerjasama antara Indonesia- Malaysia bersama Saleha dan penggambaran beberapa drama bermula 10 Januari ini.

0 Response to "Keith Foo impikan anak ramai setelah setahun berkahwin"

Post a Comment