Natasha Hudson merindu zaman lakonan

KUALA LUMPUR: Menghilang selepas filem Mamak Cupcake ditayangkan hampir dua tahun lalu kerana melahirkan dua anak, pelakon berdarah campuran, Natasha Hudson rindu kembali ke layar. Natasha yang memperlahankan aktiviti seni bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan, mengaku mula mencari peluang untuk membuat 'comeback'.

"Selepas melahirkan anak ketiga, Faatimah September tahun lalu, tumpuan saya kembali kepada keluarga. "Memang kalau boleh, saya hendak membuat 'comeback'.

Kalau diizinkan, saya mahu tahun ini kembali berlakon selain mengukuhkan perniagaan. Pada masa sama, saya juga mahu rumah tangga terus harmoni.

"Ketika ini, belum ada tawaran berlakon lagi yang diterima. Kalau ada watak yang sesuai dan menarik, semestinya saya pertimbangkan," katanya kepada BH Online. Kali terakhir ibu kepada tiga cahaya mata ini berlakon adalah melalui filem Mamak Cupcake arahan Woo Ming Jin pada tahun 2014.

Filem itu diterajui aktor popular, Shaheizy Sam dan Siti Saleha. Ketika berlakon dalam Mamak Cupcake, Natasha yang meraih trofi Aktres Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 melalui filem Chermin, hamil tiga bulan.

Anak keduanya itu diberi nama Naeema Khaleela yang kini sudah berusia tiga tahun manakala Faatimah sudah menginjak usia empat bulan. Anak sulung Natasha, Nessa Helena sudah berusia lapan tahun. Mengulas mahligai yang dibina bersama Carleed Khaza sejak 2012, Natasha mengakui kehidupan peribadinya cukup membahagiakan. "Saya sangat menikmati fasa menjadi isteri dan ibu.

Alhamdulillah, saya dengan suami banyak menghabiskan masa bersama. "Ini kerana dia menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang pengiklanan dan pengurusan acara. Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan, impian untuk memiliki keluarga besar sudah semakin tercapai," katanya.

Memiliki tiga anak perempuan, Natasha berkata, rumahnya riuh rendah dengan gelagat mereka. "Masing-masing nak bermanja dan mencuri perhatian saya dan suami. Kami tak menolak rezeki kalau diizinkan untuk menimang cahaya mata keempat. Kami serahkan kepada Tuhan... tak merancangpun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Natasha aktif mengemaskini blognya iaitu www.natashahudson.com.my yang antara lain memaparkan kandungan fesyen, makanan, kembara dan gaya hidup. Natasha berkata, blog itu sudah beberapa tahun beroperasi dan ditambah baik tahun lalu.

"Sekarang saya ada fokus untuk mengemaskini blog ini. Dunia fesyen dan bahagian kreatif ini sebenarnya cukup dekat dengan saya. Sebab itulah saya wujudkan blog ini. "Malah, saya tak berkira untuk merakam gambar fesyen yang digayakan sendiri.

Peragaan bukanlah perkara asing dan saya suka menulis dalam blog ini," katanya yang turut mengendalikan perniagaan fesyen muslimah di bawah jenama, Dreamcloud. Natasha berkata, dia turut menghasilkan produk berasaskan bahan organik untuk golongan dewasa dan kanak-kanak. "Buat permulaan, saya juga menghasilkan krim untuk mengatasi masalah gatal kulit termasuk ekzema.

"Saya melakukan semuanya sendiri. Sebelum itu, saya buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlebih dulu. Saya ada juga menghasilkan pelembap bibir dan sabun mandi untuk kegunaan sendiri. Kemudian saya beri kawan-kawan dan ahli keluarga mencuba. "Tak sangka pula produk itu mendapat maklum balas positif.

Jadi, dapatlah saya buat pendapatan sampingan dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu," kata Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin ke-26 melalui filem filem Lemak Kampung Santan ini.

0 Response to "Natasha Hudson merindu zaman lakonan"

Post a Comment