Elyana keguguran beliau pasrah

KUALA LUMPUR: Tidak mengalami sebarang alahan sepanjang tujuh minggu mengandungkan anak kedua, penyanyi Elyana pasrah apabila dimaklumkan beliau kehilangan kandungannya itu semalam. Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 29, berkata, beliau terkedu apabila hanya mengetahui berita kehamilannya selepas insiden tumpah darah.

Selain disahkan sendiri oleh doktor berhubung perkara itu, beliau bagaimanapun diminta membuat pemeriksaan lanjut Jumaat ini. "Umum mengetahui karakter saya yang kasar dan lasak, oleh itu saya terkejut ketika tumpah darah semalam kerana sama sekali tidak tahu sedang hamil tujuh minggu.

Doktor menjelaskan saya keguguran. "Namun, saya perlu membuat rawatan susulan bagi memastikan tiada bayi luar rahim. Semoga semuanya dipermudahkan dan saya boleh menjalani proses berpantang mengikut cara tradisional bagi memulihkan kembali rahim. "Buat masa ini, saya menjalani rutin harian seperti biasa.

Ada juga sesekali terasa sakit dan saya berehat seketika sehingga rasa itu hilang. Mengenali diri saya yang lasak ini, memang susah untuk duduk berehat di rumah," katanya kepada BH Online.

Elyana juga lebih suka bersikap positif dan enggan meratapi suratan takdir.

Baginya, beliau berharap dikurniakan rezeki mendapat anak dalam tempoh terdekat dan berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan. Penyanyi wanita itu berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Khairul Anuar Husin, 41, pada 20 November 2010. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayyah, yang kini berusia lima tahun.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Elyana memberitahu dirinya sedang dalam proses menyiapkan album terbaharu yang diterbitkan oleh Aidit Alfian. Buat masa ini empat daripada 10 lagu sudah pun dirakam.

"Setakat ini saya selesa bekerja dengan Aidit. Beliau juga bertanggungjawab menghasilkan album-album saya sebelum ini dan tahu apa yang terbaik buat saya," kata Elyana.

0 Response to "Elyana keguguran beliau pasrah"

Post a Comment