KUALA LUMPUR: Bakatnya dalam bidang seni mula mendapat perhatian menerusi lakonan mantapnya dalam drama bersiri Syurga Nur.
Sejak beraksi dalam drama arahan Jinggo itu, tawaran berlakon terus mencurah buat pelakon baru meningkat naik, Janna Nick, 20.
Antara drama lakonannya yang turut memberi impak ialah Kau, Aku, Kita, Jodoh, Jodoh 2, Keluarga Karaoke, Hidayahmu Ramadhan, Syurga Di Wajahmu dan Abang Sado Jemur Kain.
Terbaru, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner ini melebarkan sayapnya ke pentas teater menerusi pementasan Zombie La La La arahan Erma Fatima yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 13 hingga 21 Februari depan.
Bukan tamak untuk merebut segala peluang yang datang sebaliknya Janna mengakui dirinya masih dalam proses pembelajaran.
“Saya masih muda dan masih banyak ilmu dalam bidang seni yang ingin ditimba. Selain berlakon, saya juga menceburi bidang nyanyian.
“Saya juga menerima tawaran untuk berlakon dalam teater ini kerana ingin mencabar diri di pentas teater sekali gus menjadi pelakon versatil,” katanya yang melakonkan watak komedi iaitu sebagai Zombie Nang Nak.
Sementara itu, Erma berkata, dia berjanji akan memberikan persembahan terbaik demi memartabatkan seni teater tanah air walaupun hanya diberi masa dua bulan untuk membuat persiapan.
“Apa yang saya lakukan bukan lagi untuk saya sebaliknya kepada dunia teater terutama dalam kalangan bakat baru seperti Janna Nick.
“Ramai bakat baru dalam dunia perfileman dan drama televisyen tetapi tidak semestinya mereka pelakon yang bagus selagi tidak beraksi di pentas teater,” katanya.
Dalam masa yang singkat, kata Erma, pihaknya juga harus memikirkan modal yang mesti dilaburkan bukan sedikit sedangkan pulangannya belum pasti.
“Namun, kami berusaha semampu yang boleh dan cuba untuk memohon penajaan daripada pelbagai pihak bagi membantu kami merealisasikan teater berbentuk komedi ini,” katanya.
Zombie La La La arahan bersama A Aris Kadir dan Erma menceritakan mengenai sekumpulan zombi antaranya dari Malaysia, Thailand, Amerika Syarikat, Mesir dan Indonesia datang ke Kuala Lumpur selepas mengetahui terdapat formula yang boleh memulihkan wajah mereka.
Selain Janna dan Erma, turut berlakon dalam teater ini ialah Amar Baharin, Amy Mastura, Hafreez Adam, Datuk Rahim Razali, Lim Mei Fen dan ramai lagi.
Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari airasiaredtix.com.
Tak ‘takut’ dengan Erma
Jika ramai pelakon takut untuk bekerja dengan Erma, tetapi tidak buat pelakon muda berbakat besar ini.
“Saya tidak pernah takut untuk bekerja dengan Erma mahupun mana-mana pengarah lain yang garang dan tegas, sebaliknya saya kagum dan hormat kepada mereka.
“Erma salah seorang pengarah yang juga idola saya dalam bidang seni. Selain Erma, saya juga ingin bekerjasama dengan ramai pengarah lain dan menimba ilmu lakonan dengan mereka,” katanya.
Walaupun masih muda, Janna sudah ada sasaran dalam hala tujunya dalam bidang seni.
“Saya mahu menjadi pengarah berkaliber suatu hari nanti. Itulah impian saya dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Janna Nick cabar keupayaan diri"
Post a Comment