Syarikat Pelangsingan Badan Diminta Tidak Guna Foto Enot

KUALA LUMPUR: Pelawak Enot meminta agar syarikat pelangsingan badan iaitu Izeara tidak menggunakan gambar-gambarnya selepas kontrak dia sebagai duta produk itu selama enam bulan tamat pada 1 Disember tahun lalu.

Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 38, berkata, perkara tersebut akan mengelirukan pembeli yang masih menganggap dia sebagai duta produk ubat kurus berkenaan.

"Saya nak jelaskan di sini bahawa saya bukan lagi duta kepada produk ubat kurus Izeara sejak 1 Disember lalu, saya kesal pihak syarikat masih menggunakan gambar-gambar saya untuk menjual produk mereka.

"Saya sudah beberapa kali menegur, namun mereka masih tidak ambil peduli. Lagi satu, kenyataan mereka bahawa saya ditamatkan kontrak juga silap, sebenarnya kontrak saya memang sudah tamat pada Disember," ujarnya kepada mStar Online.

Sementara itu, Enot berkata, dia menolak tawaran untuk menyambung kontrak menjadi duta produk tersebut berikutan komitmen yang terlalu tinggi.

Dia mengakui agak sukar untuk menurunkan berat badan secara mendadak ketika menjadi duta produk berkenaan.

"Saya turun berat badan lebih 40 kilogram iaitu daripada 140 kilogram hingga sekarang sudah 100 kilogram. Pihak mereka ada tawarkan untuk sambung kontrak namun saya tolak.

"Saya ada rancangan sendiri pada tahun ini dan bukan senang sebenarnya jadi duta produk kerana terlalu banyak komitmen terutamanya dari segi menjaga hati ramai pihak.

"Sekarang dah bebas daripada tanggungjawab itu saya lega kerana saya ada tabiat yang kalau stress akan makan banyak," ujarnya.

Dalam pada itu, Enot berkata, dia kini sibuk dengan perniagaan pakaian bersaiz besar dengan jenama Gajjah By Enot.

Katanya, dia mendapat idea untuk menghasilkan pakaian itu berikutan pengalamannya yang sukar mencari pakaian sesuai.

"Setakat ini saya baru sahaja keluar dengan pelbagai jenis kardigen untuk wanita bersaiz besar. Saya dapat idea untuk buat pakaian ini kerana pengalaman sendiri.

"Orang berbadan besar ini perlu pakaian daripada kain tertentu yang menyerap peluh kerana kami kerap berpeluh," ujarnya.

Dalam perkembangan kerjaya, Enot sudah hampir dua tahun tidak mendapat sebarang tawaran lakonan.

Dia berharap ada pihak produksi yang sudi untuk memanggilnya semula berlakon drama mereka.

"Saya harap tahun ini ada pihak produksi sudi ambil saya berlakon semula kerana saya betul-betul rindu mahu kembali berlakon.

"Saya faham mereka takut nak panggil saya kerana menyangka saya masih sakit, namun saya sudah sihat sekarang dan boleh kembali aktif," ujarnya.

0 Response to "Syarikat Pelangsingan Badan Diminta Tidak Guna Foto Enot "

Post a Comment