KUALA LUMPUR: Raja gelek Malaysia, Datuk Mohd Daud Kilau, 77, atau lebih dikenali
sebagai M. Daud Kilau yang dimasukkan di Hospital Teluk Intan (HTI)
sejak Ahad lalu semakin beransur pulih.
Dia yang berasal dari Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh, dimasukkan ke wad selepas mengalami komplikasi membuang air kecil.
Penyanyi yang popular dengan lagu Cek Mek Molek ini berkata, keadaannya
semakin pulih dan yakin akan sembuh dalam masa terdekat selepas menerima
rawatan.
"Saya sudah tidak sabar untuk sembuh sepenuhnya dan berjumpa dengan peminat-peminat saya seluruh negara.
"Saya juga meminta peminat, rakan-rakan serta rakyat Malaysia mendoakan
kesihatan saya semakin baik, kerana saya tidak akan mengalah selagi
kudrat masih ada menghiburkan peminat," katanya ketika ditemui di HTI.
Anak lelakinya, Ahmad Zaini Mohd Daud, 44 yang turut berada di sisinya
di wad berkata, ayahnya di masukkan ke wad selepas mengadu sukar untuk
membuang air kecil.
"Selepas ayah mengadu sukar membuang air kecil kami segera membawanya ke
HTI untuk rawatan, tetapi doktor menyarankan supaya dia dimasukkan ke
wad bagi mendapatkan pemeriksaan rapi.
"Ayah memang menghidapi penyakit kencing manis dan buah pinggang jadi
bila doktor menyarankan dia ditahan untuk rawatan rapi kami setuju,
supaya dia sembuh sepenuhnya," katanya.
Tambahnya, ayahnya enggan untuk ditahan di wad kerana pada hari sama dia
sudah berjanji untuk bertemu peminat pada konsert Fiesta Bagan Datoh.
"Kami tahu ayah amat kecewa kerana tidak dapat buat persembahan, namun
dia tetap akur dan mendengar nasihat kami untuk menerima rawatan rapi
bagi kebaikkannya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "M Daud Kilau semakin pulih syukur"
Post a Comment