KUALA LUMPUR: Baru setahun mencipta nama sebagai pelakon, Nadzmi Adhwa mengaku serik menggunakan khidmat pembantu peribadi selepas dirinya ditipu RM9,000 oleh individu terbabit.
Nadzmi atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi menjelaskan, penipuan berkenaan membabitkan bayaran bagi penampilan khas di beberapa acara termasuk di Singapura.
“Tidak sampai dua bulan dia bekerja dengan saya, banyak duit dicuri tanpa pengetahuan saya. Mulanya, saya tidak tahu acara yang dihadiri diberi bayaran berupa token kerana dimaklumkan tiada bayaran.
“Mungkin Allah nak tunjuk sikap sebenarnya, apabila pulang ke Malaysia selepas menghadiri program ramah mesra dengan peminat di Singapura, penganjur menghubungi saya. Agak terkejut apabila dia tanya adakah saya sudah menerima bayaran.
“Saya minta bantuan abang untuk menyiasat perkara ini. Sejak itu semua helah dan penipuan terbongkar. Bukan acara itu saja, malah sebelumnya sudah beberapa kali,” katanya yang mula menyedari perkara itu pada November lalu.
Jelas jejaka berusia 24 tahun ini, bekas pembantu peribadinya itu adalah peminat daripada beberapa kelab peminat artis termasuk kelab peminat Amar Baharin dan Hisyam Hamid.
Menurutnya lagi, individu yang dianggap rakan itu turut menipu RM2,000 untuk melobi mana-mana syarikat produksi bagi mendapatkannya tawaran berlakon.
“Saya jenis lurus bendul dan ikut saja cakap dia ketika itu. Mungkin saya masih baru, jadi saya anggap semua perkara itu betul.
“Tidak sangka dalam diam dia mengkhianati saya. Selama ini saya menjaganya dengan baik, malah sanggup membenarkannya tumpang tidur di rumah keluarga saya. Memang saya berasa ralat dan kecewa dengan sikapnya” katanya yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan pada tahun lalu.
Tambah Nazdmi, bekas pembantu peribadinya itu menghilangkan diri sejurus selepas diberhentikan.
“Kalau boleh saya tidak mahu memanjangkan perkara ini hingga membabitkan pihak berkuasa. Jika dia membaca kenyataan ini, harap pulangkan segala hasil titik peluh saya yang dia ambil. Saya ada semua bukti penipuan yang dilakukan.
“Saya cuba menghubunginya, tetapi nombor telefon tidak diaktifkan. Malah, saya disekat untuk akses ke semua laman sosial miliknya. Pada masa sama, dia juga berpindah rumah. Buat masa sekarang, saya masih mahu beri dia peluang untuk perbetulkan keadaan,” katanya.
Serik dengan apa yang berlaku, Nadzmi mengambil keputusan bergerak sendiri tanpa menggunakan mana-mana khidmat pengurus atau pembantu peribadi.
“Banyak yang saya belajar daripada kejadian ini. Disebabkan saya mudah percayakan orang, saya mudah ditipu dan dipermainkan.
“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Murah rezeki
Mengenai kerjaya seni, lakonan Nadzmi boleh disaksikan dalam filem Langit Cinta yang mula ditayangkan sejak 7 Januari lalu.
“Ini lakonan pertama saya di layar perak. Banyak yang perlu diperbaiki terutama penghayatan. Insya-Allah, jika ada lagi tawaran filem selepas ini saya akan cuba yang terbaik,” katanya.
Berlakon di samping ramai nama besar seperti Ogy Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi memberikan satu pengalaman baru buatnya.
Selain itu, Nadzmi juga berbangga apabila dipilih menjadi wajah kempen produk kecantikan Chew N Glow selama tiga bulan.
“Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan mewakili produk ini. Sudah lama saya mengidamkan dilantik sebagai duta atau wakil kempen produk.
“Mungkin ramai belum tahu, tetapi ia sudah berada di pasaran sejak setahun lalu. Maklumat lanjut produk ini bolehlah ke Instagram chewnglowofficial.hq dan Facebook Chow N Glow HQ-Malaysia,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Nadzmi ditipu RM9,000"
Post a Comment