Syafiq Kyle tidak mahu kongsi kisah peribadinya

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan pelakon baru menyerlah dalam karier lakonan kerana bakat, nama Syafiq Ktyle pula lebih menjurus kepada hubungan cinta.

Sering menjalin kasih dengan gadis sealiran karier, Syafiq makin menjadi perhatian dengan kisah cintanya berbanding karier.

Kini dengan tekad membuka lembaran baru buat dirinya, Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 23, enggan lagi berkongsi perkembangan peribadinya.

Memandang positif dengan apa yang pernah dilalui, Syafiq berkata, sekarang fokus utamanya pasti pada karier lakonan diceburi.

“Saya tidak mahu lagi bersikap terbuka untuk terus berbicara mengenai kisah peribadi seperti percintaan berbanding karier.

“Rasanya tidak perlu lagi saya berkongsi cerita dengan jawapan sama. Lebih baik ruang itu digunakan untuk berkongsi perkembangan karier,” katanya.

Mula berlakon drama Tanah Kubur, kini nama Syafiq kian dikenali dan berada dalam kelompok pelakon lelaki meningkat naik tanah air.

Drama adaptasi novel Bila Hati Berbicara berjaya menyerlahkan bakat dimiliki sekali gus melakonkan watak utama sebagai Emir Qasha.

Pada kemuncak Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) baru-baru ini, Syafiq bukan sekadar dicalon dalam ‘Top 5’ kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama menerusi Dari Pintu Neraka, dia juga dilantik sebagai ikon media sosial ASK 2015 bersama Yana Samsudin.

Kata Syafiq, apa yang pasti dia mengatur perancangan untuk mengembangkan karier lakonannya ke layar perak pada 2016.

“Kini tiba masa untuk saya mencuba nasib untuk dikenali sebagai pelakon filem biarpun sekarang masih dalam proses mempertimbangkan tawaran diterima.

“Jika tiada aral, saya mungkin membintangi satu filem tahun hadapan tetapi setakat ini bagaimana jalan cerita dan genre filem itu biarlah dirahsiakan lagi.

“Saya tidak mahu terlalu berbicara lanjut mengenai tawaran itu kerana masih dalam proses perbincangan,” katanya.

Katanya, apa yang pasti dia berminat dengan projek filem itu dan bersedia melangkah kaki beraksi di layar perak.

“Sebagai pelakon, saya akui tidak mahu terus terikat dalam zon selesa untuk dikenali peminat melalui produk drama dan telefilem saja.

“Saya juga semestinya mempunyai impian yang tersemat di hati untuk suatu hari nanti mendapat peluang muncul dalam filem.

“2016 berkemungkinan menjadi pembuka laluan buat saya maju setapak dengan memberanikan diri berlakon filem,” katanya.

Mengenai senario jumlah kutipan tiket dan kemalapan yang melanda industri perfileman Melayu kini, Syafiq berkata berkarya tetap harus diteruskan.

“Saya tahu masalah melanda filem Melayu sekarang, namun keadaaan ini sama sekali jangan dijadikan alasan untuk tidak berkarya.

“Bagi saya, nasib untuk sesuatu filem itu mungkin sukar diramal tidak mustahil tempoh dua atau tiga tahun lagi akan membawa perubahan positif pada filem Melayu,” katanya.

Syafiq juga mengakui tidak terlalu bersikap memilih watak. Bagaimanapun katanya, dia mengambil pendekatan mengehadkan tawaran berlakon drama yang diterima.

“Tujuannya bukan kerana sombong atau lupa diri tetapi sekadar tidak mahu asyik muncul melakonkan watak sama.

“Memang saya teliti dengan setiap skrip diterima kerana menjadi keutamaan menilai sejauh mana kehendak karakter akan dilakonkan nanti.

“Ia penting kerana saya takkan terima sesuatu watak di luar kemampuan diri. Saya akan terima watak yang mampu dilakonkan dengan baik,” katanya.

Berkawan baik dengan pelakon kacak meningkat naik, Syarul Ridzwan, 26, Syafiq akui tidak pernah berasakan sahabat karibnya sebagai pesaingnya. Dia yakin di antara mereka memiliki kelebihan masing-masing.

“Saya akui memang bakat lakonan Syarul kini makin menyerlah dan menjadi perhatian penonton, tetapi itu rezeki dia.

“Saya sedikit pun tidak cemburu kerana tahu Syarul memang berbakat dan dia layak berada pada tahap sekarang. Lakonan Syarul juga berkesan,” katanya.

Selesa bersikap saling menyokong antara satu sama lain, Syafiq berkata, tiada guna berebut-rebut pun kerana industri hiburan tempatan tidak sebesar mana.

0 Response to "Syafiq Kyle tidak mahu kongsi kisah peribadinya"

Post a Comment