Beri penonton puas dengan lakonannya : Syafie Naswip

KUALA LUMPUR: Mula menceburi bidang lakonan ketika usia 14 tahun melalui filem Mukhsin arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, kini nama Syafie Naswip, 23, dikenali peminat.

Hingga kini, Syafie merang­kul beberapa anugerah berprestij yang meletakkan dia sebaris pelakon lelaki terbaik di negara ini.

Selepas 10 tahun membina nama dalam industri seni, Syafie masih lagi disogok dengan watak pelajar sekolah. Bagaimanapun, Syafie akui tidak kecewa dengan perkara itu.

“Saya seorang yang tidak terlalu memilih watak untuk dilakonkan. Bagi saya, apa yang paling utama skrip diterima itu bagus dan jalan ceritanya menarik.

“Bahkan sepanjang menceburi karier seni juga saya sama sekali tidak mengejar anugerah sebaliknya berusaha memberi lakonan terbaik buat penonton,” katanya.

Pernah merangkul anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20) pada 2007 melalui filem Mukhsin, ada tiga lagi anugerah dimenangi Syafie.

Antaranya dua anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di FFM22 melalui filem Talentime dan FFM25 menerusi filem Songlap termasuk Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2007 (ASK) untuk drama Ilham Suci.

Mengakui masih banyak watak belum berpeluang dilakonkan, Syafie atau Mohd Syafie Naswip akan sabar menunggu. Baginya, soal rezeki ketentuan Tuhan.

Katanya, dia melihat per­saingan dalam industri seni tanah air kini berlaku secara sihat. Meskipun tewas pada kanak-kanak berusia 13 tahun, Izuan Fitri pada kemuncak ASK 2015 baru-baru ini untuk anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama, Syafie tidak kecewa.

Katanya, kemenangan Izuan melalui drama Penyabong lebih layak kerana lakonan dipersembahkan pelakon cilik berkenaan sangat berkesan.

“Saya pun tak sangka nama dicalon hingga Top 5 memandangkan karakter dilakonkan untuk drama Sebentuk Kunci Sedetik Cinta itu tidaklah begitu kuat.

“Saya akur tidak menang kerana menyifatkan lakonan Izuan lebih mantap. Secara tidak langsung, ia memartabatkan pelakon kanak-kanak tempatan,” katanya.

Syafie berkata, mengangkat pelakon kanak-kanak sebagai pemenang dalam majlis anugerah berprestij seperti ASK secara tidak langsung menunjukkan industri hiburan kini bersikap terbuka.

“Penilaian dibuat sama sekali tidak bersikap skeptikal sebaliknya pemilihan pemenang ber­asaskan lakonan mantap yang berjaya dipersembahkan.

“Jujur saya katakan, pelakon kanak-kanak seperti Puteri Balqis dan Raykarl Iskandar memang berbakat dan lakonan mereka juga berkesan,” katanya.

Mengenai penampilannya yang bermisai dan berjambang di kemuncak ASK 2015, Syafie berkata dia sekadar me­ngikut tema majlis.

Katanya, tak dinafikan maklum balas diterima sangat positif yang mana ramai menegur memberitahu penampilan itu menampilkan dia pada sisi berbeza. “Kelihatan matang dan saya selesa dengan imej itu,” katanya.

Bagaimanapun, Syafie menafikan imej barunya itu kerana dia kini di alam percintaan dan dalam proses mengenali sese­orang.

Katanya, dia masih lagi solo dan belum bertemu calon yang berjaya bertakhta di hatinya. Mengakui selesa memberi fokus pada karier, bercinta masih terlalu awal.

“Buat masa sekarang, saya lebih senang memberi tumpuan pada karier. Ditambah, saya perlu menilai setiap tawaran watak sebelum setuju menerimanya.

“Meskipun tidak bersikap memilih, tetapi penting untuk saya menilai dan memahami skrip yang diterima untuk memahami jalan cerita,” katanya.

Syafie baru habis penggambaran drama Kifarah Mistik arahan Heykal Hanafiah untuk episod Silap Mata. Selain itu, dia juga akan muncul untuk satu episod bagi drama Sayap Jibrail arahan Rashid Sibir yang akan disiarkan Astro.

Mengenai bidang pengacaraan, Syafie memaklumkan dia yang pernah mengemudi program 13 episod Memancing disiarkan TVi RTM, ada menerima tawaran mengacara.

Namun, buat masa ini masih dalam pertimbangan dan belum membuat sebarang keputusan. Apa pun, tak dinafikan menjadi pengacara juga sangat menyeronokkan.

0 Response to "Beri penonton puas dengan lakonannya : Syafie Naswip"

Post a Comment