Kembara rohani Lah Ahmad

Mula dikenali bersama kumpulan V.E, Lah Ahmad, 35, kini bergerak solo dengan lagu dakwah seiring dengan penghijrahannya.

Bertemu Lah atau Abdullah Ahmad, dia tampak gembira berkongsi cerita mengenai kembara seninya dan tidak menyangka masih ada peminat yang mengikuti perkembangannya.

Muncul dengan lagu dakwah melalui album Lah Ahmad: Jalan Untuk Kembali tahun lalu, penyanyi kelahiran Petaling Jaya itu akui niat menyanyikan lagu sebegitu sudah timbul ketika masih aktif bersama V.E.

Lah juga sudah lama menyimpan niat untuk mencipta dan menyanyikan lagu berunsur dakwah tetapi ketika itu dia tidak tahu bagaimana mencari isi untuk lirik lagu.

Sehinggalah pada 2010, apabila mula menghadiri ceramah agama, Lah bertemu dengan ramai orang bijak agama.

“Itulah titik permulaan yang membuka mata dan hati saya menghasilkan lagu ketuhanan,” katanya.

Dalam misi belajar agama, Lah secara tidak sengaja berjumpa rakan lama dan diajak untuk menyertai kumpulan Al-Mawlid dianggotai rakan dari kumpulan Ruffedge, V.E dan Innuendo.
“Ketika itu barulah saya tahu ramai sahabat seangkatan sudah berhijrah. Pembabitan itu memberikan ilmu dalam menghasilkan lagu kerohanian.

“Sebenarnya tidak terfikir untuk menghasilkan album itu. Ketika itu saya berjumpa dengan wakil Inteam Records untuk memberikan empat lagu kalau dapat dirakamkan penyanyi nasyid.
“Bagaimanapun selepas mendengar demo, mereka meminta saya menyanyikan lagu berkenaan. Saya mengubah perancangan awal dan menerima cadangan mereka.

“Dari empat lagu, saya cari lagi beberapa lagu. Album solo pertama saya berjaya dihasilkan dengan memuatkan 11 lagu,” katanya.

Kata Lah, andai dulu dia mementingkan populariti, namun kini tidak ada perkara utama dalam dirinya selain membawa masyarakat lebih dekat kepada Allah.

Katanya, lagu kerohanian itu adalah usaha kecil untuk berdakwah dan ia menampilkan rentak soul R&B.

Mengenai penerimaan umum terhadap lagu dendangannya, Lah menganggap perkara itu sebagai satu cabaran dan dia memberanikan diri untuk mencuba.

“Antara lagu dimuatkan dalam album itu ialah Syukur, Ya Allah, Agung, Salam, Kehadiranmu dan Kau Tercipta. Ada juga saya selitkan bacaan ayat al-Quran tetapi ia dilakukan Ustaz Don Daniyal.

“Semua lagu dalam album itu disuntik dengan elemen moden. Walaupun perkara itu bukan lagi benda baru, tetapi tetap timbul kebimbangan. Saya risau, orang akan mempertikaikan lagu saya yang disulami dengan rentak moden sedangkan ia lagu dakwah,” katanya.

Lah akui maklum balas positif terhadap lagu Mawi, Al Haq membuatkan dirinya memberanikan diri untuk menyanyikan lagu dengan suntikan muzik R&B. Katanya, ia caranya untuk menyalurkan dakwah.

Tidak hanya pada lagu, penyanyi dan penulis lagu yang cukup berpengalaman itu juga mementingkan bahagian teknikal. Lah memberi penekanan terhadap susunan lagu serta memperkemas garapan lagu.

Kata Lah, dia kini mempunyai satu lagi harapan untuk menghasilkan album penuh dalam bahasa Arab dan berharap mempunyai material mencukupi untuk buah tangannya itu nanti.

“Apa pun, saya kini sedang mengumpul material untuk album solo kedua. Saya juga bercadang untuk menampil–kan lagu duet bersama pelakon cilik Puteri Balqis.

“Saya juga terfikir untuk mengumpulkan kembali anggota V.E dan bergabung dengan mereka sama ada dalam lagu baru mahupun bersama sebagai satu kumpulan di pentas majlis menghiburkan penonton,” katanya.

Walaupun sudah lapan tahun membawa haluan masing-masing, Lah berharap suatu hari nanti dapat bersatu kembali untuk menyanyi bersama.

Bagaimanapun katanya, mungkin kemunculan semula mereka akan berbeza terutama sekali pada pemilihan lagu.

“Apabila teknologi semakin canggih dan wujud aplikasi WhatsApp, ia memudahkan kami berkomunikasi dan mempunyai ‘group’. Saya ada suarakan pendapat untuk kembali sebagai V.E dan mereka juga setuju.

“Nampaknya buat masa ini rezeki masih belum memihak kepada kami,” katanya.

0 Response to "Kembara rohani Lah Ahmad"

Post a Comment