Linda Hashim lelong baju kahwin

KUALA LUMPUR: Pelakon Linda Hashim mengambil keputusan menjual semua baju terpakai miliknya ketika aktif berlakon termasuk baju perkahwinannya bagi mengelakkan ia rosak apabila lama disimpan.

Manakala separuh lagi daripada baju-bajunya sudah diderma kepada mangsa banjir di Kelantan tahun lalu.

Linda berkata, baju tersebut dijual dengan harga murah bagi memberi peluang kepada orang lain yang mahu memakainya.

"Bukan saya tidak sayang jual baju nikah itu, tetapi saya tidak mahu baju itu rosak begitu sahaja kalau disimpan terlalu lama.

"Jadi, lebih baik saya jual murah kepada sesiapa yang berminat untuk memakainya. Baju tersebut dibuat oleh kakak saya dan kain serta manik-manik saya beli di Indonesia, kira-kira menelan kos RM4,000 juga," ujarnya seperti yang dilaporkan mStar online.

Tambahnya, sebelum ini, ada beberapa pihak yang bertanya dan berniat untuk membeli baju tersebut, namun dia hanya menyewakannya sahaja.

"Sebelum ini ramai yang tanya saya dan mahu beli baju itu tetapi ketika itu saya baru sahaja berkahwin dan tidak rasa nak jual. Saya beri mereka pinjam dan sewakan sahaja.

"Tapi bila saya fikir balik buat apa nak simpan, kalau nak tunjuk pada anak bila mereka besar nanti boleh tengok di gambar-gambar kahwin sahaja," ujarnya.

"Saya baru pindah rumah, jadi saya kumpul berkotak-kotak baju lama saya ketika aktif berlakon dulu untuk dijual secara lelong sahaja.

"Baju yang elok dan sopan saya sudah derma kepada mangsa banjir, kebanyakan baju yang saya jual ini sudah tidak sesuai dipakai kerana agak seksi," ujarnya.

Dalam pada itu, Linda yang kini hamil lapan bulan berkata, dia dijangka bakal melahirkan cahaya mata kedua pada pertengahan Januari depan.

0 Response to "Linda Hashim lelong baju kahwin"

Post a Comment