Firman selesa rambut pendek

Seiring dengan kematangan usia dan janji dibuat sebaik album sulungnya, Kau Yang Satu berada di pasaran, kini Firman Bansir muncul dengan imej baru.

Firman, 26, juara Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) kelihatan tampan dan sesuai dengan usia dengan imej rambut pendek.

Bersua dengan Firman baru-baru ini, pemuda kelahiran Tawau, Sabah itu berkata, ibunya, Painah Tambanan, 57, adalah insan paling gembira dengan imej rambut pendek ini.

“Memang sudah lama ibu meminta saya memotong rambut tetapi saya memang bercadang mahu memotong rambut sebaik album sulung berada di pasaran dan kini impian itu jadi kenyataan. Saya berasa lebih selesa dan terurus dengan imej baru ini,” katanya.

Firman yang popular dengan lagu Di Pintumu dan Paling memaklumkan, dia akan mempromosikan single ketiga, Bohong ciptaan Omar K.

Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album Kau Yang Satu bergenre rock ialah Engkau Yang Tahu, Kekasih Hati dan Kau Yang Satu, ciptaan Firman khas buat ibunya.

Mengenai dirinya dikatakan ‘juara terpinggir’, Firman berkata perkara itu tidak berlaku kerana hingga kini dia masih aktif menerima tawaran menyanyi.

Katanya, kebanyakan tawaran persembahan nyayian diterima dianjurkan di Sabah dan memberi peluang kepadanya balik kampung.

“Sekarang setiap bulan saya mesti ada masa balik ke kampung di Tawau untuk menziarah ibu bapa, adik-beradik dan sanak saudara.

“Hinggakan ibu juga tidak berasa terlalu rindu dengan saya kerana sering balik ke kampung. Apa pun, saya bersyukur dengan rezeki diperoleh.

“Cuma saya kini jarang muncul dalam program hiburan di televisyen. Namun, itu tidak bermakna saya menyepi diri,” katanya.

Kata Firman, dia gembira apabila mendengar lagu nyanyiannya sering berkumandang di radio.
“Matlamat saya apabila album Kau Yang Satu berada di pasaran, semestinya saya mahu semua enam lagu dirakamkan diterima baik pendengar.

“Buat masa ini, mungkin tiga lagu sudah diketengahkan di radio dan saya takkan berhenti berusaha untuk memastikan semua lagu itu dapat didengar peminat.

“Kemunculan album Kau Yang Satu adalah impian saya. Jadi, apabila impian yang pernah diangan-angankan jadi kenyataan, saya harus gigih melakukan promosi,” katanya.
Menyedari jatuh bangun dan pasang surut lumrah dalam karier seorang anak seni, Firman berkata dia lebih selesa bersikap tenang.

“Selain itu, saya sentiasa berfikiran positif. Apa saja cerita kurang enak mengenai saya dan karier dibiarkan saja.

“Meskipun sebagai manusia biasa ada kalanya terasa hati tetapi perasaan itu segera dirawat dengan menenangkan diri dan bersikap positif,” katanya.

Masih setahun jagung membina nama di persada seni tanah air, Firman bersyukur lagunya Di Pintumu layak bersaing di Separuh Akhir Muzik-Muzik 30.

Enggan meletak harapan tinggi, Firman berkata dia lebih selesa menyerahkan soal rezeki sama ada berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL) kepada ketentuan Tuhan.

Kata Firman, dia kini bukan sekadar sibuk dengan aktiviti promosi album tetapi juga menyahut cabaran menyertai program Juara Parodi yang disiarkan Astro Warna (saluran 132).

Berganding dengan kumpulan lawak otai, Senario, Firman akui mereka banyak membantunya berlawak biarpun ia tak mudah dilakukan.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Senario untuk persaingan Juara Parodi kerana kami serasi dan saling membantu di antara satu sama lain.

“Apapun, bukan mudah untuk berlawak dan membuat orang ketawa. Saya merasakan cabarannya yang besar.

“Dengan pengalaman luas Senario ia sangat membantu. Kami sama-sama komited dan nekad akan ber­usaha hingga berjaya,” katanya.

Dihoskan pengacara Najib Ali dan Dina Nadzir, Juara Parodi disiarkan di Astro Warna setiap Jumaat, jam 10 malam sejak 6 November lalu. Tugas juri digalas penghibur ternama tanah air, Afdlin Shauki dan Zainal Abidin.


0 Response to "Firman selesa rambut pendek"

Post a Comment