Izara Aishah jelmaan Kareena Kapoor?

KUALA LUMPUR: Bakat lakonannya semakin cemerlang. Izara Aishah bukan sekadar memperagakan wajah cantik tetapi bakatnya juga datang seiring. Di awal kemunculan, Izara pernah berlakon seperti kayu tetapi seiring dengan pengalaman yang ditimba, pelakon drama Vanilla Coklat itu meraih kepercayaan ramai pihak termasuk peminatnya untuk terus mewarnai persada seni.

Pada 26 November ini, Izara akan muncul dengan filem `Sinaran' arahan Osman Ali membawa watak Tina.

Ia menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Filem edaran GSC Movies ini turut dibintangi Lisa Surihani, Evan Sanders, Syariff Sleeq serta Nadiah M Din serta penampilan istimewa Datuk Sheila Majid. Menghubungi Izara tadi, selepas menerima tawaran dan skrip filem ini, dia sudah membayangkan dirinya sebagai aktres Bollywood, Kareena Kapoor di dalam filem Kabhi Khushi Kabhi Gam. Tina digambarkan sebagai gadis cantik yang bercita-cita menjadi insan terkenal dan popular.

Malahan dalam filem ini juga, Izara perlu menari dan ia bukan masalah besar buatnya. "Memang ketika meneliti skrip dan jalan cerita filem ini, saya ambil inisiatif membayangkan Tina itu seperti watak yang dibawakan Kareena Kapoor. "Memang terasa diri ini macam Kareena Kapoor.

Bab tarian, saya memang tak ada masalah kerana ada asas dalam tarian. "Cuma selepas menonton filem ini, ada banyak babak tarian saya sudah dipotong. Sayang juga tapi pihak produksi pasti ada alasan konkrit berbuat demikian," katanya. Filem ini juga menyaksikan kali pertama Izara berlakon di sisi Lisa Surihani sebagai teman baiknya bernama Shila.

"Seronok berlakon dengan Kak Lisa dan pelakon lain kerana masing-masing kepala 'gila'. "Kak Lisa sendiri seorang pelakon yang komited dan banyak membantu saya ketika babak bersamanya," katanya yang sedang menanti tayangan filem Showdown The Movie.

Izara dalam perkembangan lain sedang melunaskan baki penggambaran filem epik Mat Kilau dan menanti siaran telefilem Cik Siti bagi siaran TV3. Izara turut memberitahu, dia juga akan membintangi drama Masam Manis bagi slot Akasia TV3 di samping Zamarul Hisham.

0 Response to "Izara Aishah jelmaan Kareena Kapoor?"

Post a Comment