Jasmin Hamid kecewa anak seni lama dipinggirkan

KUALA LUMPUR: Selama 25 tahun, nama Jasmin Hamid memang tidak perlu diperkenalkan apabila pemenang trofi Aktres Terbaik di Anugerah Skrin 1997 dan Pelakon Komedi Wanita Terbaik Anugerah Lawak Warna 2013 antara yang masih meneruskan survivalnya di arena seni.

Malah selain bakat yang dimilikinya, bentuk badannya yang montok turut digilai ramai. Namun baru-baru ini, Jasmin menerusi laman Facebooknya meluahkan sesuatu yang lama terbuku.

Jasmin dilihat cukup terkesan dengan perkembangan semasa apabila pelakon baharu dilihat terus mendapat peluang sedangkan pelakon lama sepertinya bagai mula dilupakan.

Senario berkenaan bukan pelik. Ada pelakon lama yang terus tegar berjuang di sebalik semua itu dan ada juga yang bagaikan hilang semangat. "Apakah akan terjadi dengan nasib anak seni di Malaysia ini? Yang lama dipinggirkan, yang baru disanjung.

Kenapa nasib tidak seperti anak seni di luar negara? Siapa yang akan membela nasib orang lama ini? Adakah bila mereka sudah menutup mata, baru mereka di kenang? Tidak seperti zaman saya mula-mula ingin menjadi anak seni dahulu.

"Amat susah untuk saya berdiri sebaris dengan pelakon lama sehingga mereka benar-benar yakin yang saya layak untuk berdiri sebaris dengan mereka selepas melihat kerja dan pencapaian saya dalam dunia seni.

Zaman sudah berubahkan? Siapa suka anak seni yang lama dan siapa suka anak seni baru?" ungkapnya di laman berkenaan. Luahan itu disambut penerbit terkenal syarikat Zeel Production, Fadzil Teh. "Insya-Allah anakku, Jasmin Hamid...2016 akan lebih beri peluang kepada pelakon lama menguasai stesen TV kita.

Tempoh hari saya ada bermesyuarat dengan orang kuat RTM dan mereka rindukan lakonan Haliza Misbun. Tv3 dan TV9 pun akan mula menggabungkan nama baharu dan lama dalam penerbitan drama mereka. InsyaAllah...kita orang seni kena terus kuat," kata Fadzil Teh.

0 Response to "Jasmin Hamid kecewa anak seni lama dipinggirkan"

Post a Comment