Cabaran penggambaran yang singkat

Pembikinan supertelefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast di Gold Coast, Australia berdepan cabaran besar apabila hanya dibenarkan menjalani penggambaran selama 12 jam sehari.
Mengulas perkara itu, Nizam Zakaria yang bertindak selaku pengarah berkata dia perlu akur dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan negara terbabit.

“Saya perlu menyiapkan penggambaran dalam tempoh yang singkat. Dua belas jam untuk dewasa manakala kanak-kanak hanya lapan jam sehari. Memang terkejar-kejar dibuatnya.

“Mujurlah Mia Sara dan Rykarl Iskandar cekap menghayati skrip yang diberi. Malah ada aksi spontan mereka memuaskan hati saya,” katanya.

Nizam yakin selain jalan cerita yang bagus, pemandangan cantik Australia mampu menarik perhatian penonton menyaksikan karya terbarunya itu.

“Sebelum ini saya pernah mengadakan penggambaran di Sydney dan kali ini saya memilih Gold Coast. Banyak pengalaman menarik kami peroleh sepanjang berada di Gold Coast.

“Antaranya, teruja menyaksikan ikan paus. Kami mengambil masa hampir empat jam untuk babak merakam aksi ikan paus.“Kami juga dapat melihat ikan lumba secara dekat,” katanya.

Mengulas pengalaman mengarah Mia dan Rykarl, Nizam berkata dia tidak ada sebarang masalah dengan dua pelakon cilik itu.

“Mia dan Ryakarl pandai bawa diri dan sangat komited sepanjang penggambaran.
“Pun begitu mengendalikan pelakon kanak-kanak bukan mudah dan menuntut kesabaran yang tinggi. Saya faham mereka masih kecil dan tidak boleh berharap faham sepenuhnya apa yang kita mahu.

“Kadangkala kita suruh diam mereka masih buat bising lagi,’ katanya.
Sementara itu Rykal mengakui sangat gembira apabila berpeluang menjejakkan kaki ke Gold Coast buat pertama kalinya.

“Seronok dapat lihat ikan lumba, ikan paus dan naik belon panas.
“Ia pengalaman baru buat saya dan akan dikenang sampai bila-bila. Inilah antara kelebihan menjadi pelakon, dapat berjalan-jalan dan melakukan perkara yang tidak pernah terbayang di fikiran,” katanya.

Selain Mia dan Rykarl, Strawberi & Karipap Hello Gold Coast turut dibintangi Nelydia Senrose, Zizan Nin serta Zizan Razak.

Mengisahkan Nini dan Haikal merancangkan percutian keluarga ke Gold Coast untuk menyatukan cinta Lisa dan Hairi.

Di sana mereka bertemu Bro Z yang bekerja sebagai pemandu pelancong. Pelbagai kejadian lucu berlaku sepanjang mereka berada di sana.

Berjayakah misi Nini dan Haikal? Jika ingin mengetahui apa kesudahan cinta Lisa dan Hairi jangan ketinggalan menyaksikan Strawberi & Karipap Hello Gold Coast di Astro First Ekslusif saluran 480 pada 26 November ini.

0 Response to "Cabaran penggambaran yang singkat"

Post a Comment