Neelofa jadi isteri ketiga dalam Wan Embong

TELEFILEM: Wan Embong arahan Amie Maziah yang diterbitkan Zeel Production akan bersiaran menerusi slot Cerekarama pada 21 November ini.

Ia membariskan pelakon terkenal seperti Faizal Hussien, Neelofa, Izreen Azminda, Vanidah Imran, Johan As'ari dan Datu, Rahim Razali.

Telefilem ini mengisahkan kisah cinta terhalang dua insan yang diselimuti kebencian, fitnah dan pengkhianatan.

Istimewanya, ini kali pertama Zeel Production bekerjasama dengan Johan Asaari dan Vanidah Imran. Malah, menerusi Wan Embong juga, kali pertama Neelofa (Wan Embong), Vanidah Imran (Seri), Izreen Azminda (Chempaka) melakonkan watak isteri kepada Omar lakonan hebat Faizal Hussien.

Wan Embong ditulis skripnya oleh Syed Muhd Taufik Syed Abdul Jalil ini menjalani penggambaran selama 14 hari di sekitar Bukit Cerakah, Shah Alam, Gunung Lang , Ipoh serta Tasik Banding Hutan Belum, Grik, Perak.

Omar selaku Ketua Kampung Tuan Tunggal yang memiliki dua orang isteri iaitu Seri dan Chempaka lakonan Vanida Imran serta Izreen Azminda. Kedua-dua mereka begitu taat dengan Omar. Kisah bermula apabila Omar mengutip cukai bulanan di rumah Wan Manap.

Kedaifan Wan Manap ternyata mengharukan hati Omar. Omar memahami Wan Manap yang uzur dan tidak lagi mampu bekerja. Dan di situ jugalah Omar berkenalan dengan anak dara Wan Manap, Wan Embong lakonan Neelofa.

Wan Embong seorang gadis bertudung lepasan sekolah dan belum berkahwin. Omar terus menyatakan hasrat untuk mengahwini Wan Embong dan Wan Manap tidak lagi perlu membayar cukai bulanan.

Wan Embong menolak permintaan Omar. Namun kerana kasihan bapanya, Wan Embong harus menerima takdir yang dia terpaksa menjadi isteri kepada Omar.

Namun Wan Embong meletakkan syarat yang Omar tidak boleh menyentuh dirinya. Dibawa pulang ke rumah, di sinilah Wan Embong terpaksa berhadapan pula dengan isteri Omar yakni Seri dan Chempaka.

Seri isteri pertama yang memang tidak suka Chempaka dan Embong kerana beranggapan mereka hanya menginginkan harta suaminya. Berlainan dengan Chempaka, yang mudah mesra dan bersikap baik dengan Embong. Namun segala-galanya berubah apabila Wan Embong diperkenalkan Ali (lakonan Johan Asaari) oleh Chempaka. Ali sudah lama mencintai Embong. Chempaka akhirnya mengatur langkah untuk menyatukan Ali dan Embong tanpa diketahui, Chempaka memiliki niatnya yang tersendiri.

Apakah niat sebenar Chempaka? Apakah Omar tidak akan mengetahui hubungan cinta sulit Ali dan Wan Embong? Apakah Seri akan berdiam diri? Kesudahannya dapat disaksikan Sabtu ini di TV3 bermula jam 9 malam. Nantikan tayangannya pada 21 November, 9 malam di TV3

0 Response to "Neelofa jadi isteri ketiga dalam Wan Embong"

Post a Comment