Lagu Dayang Nurfaizah didangdutkan

Ramai memuji persembahan Sarah dan Asmidar di Anugerah Skrin 2015 (ASK2015) mendendangkan dua lagu popular, Di Pintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah dan Assalammualaikum (Faizal Tahir) dalam irama Ghazal.

Idea kreatif itu dilihat mampu membentuk minat generasi muda terhadap irama tradisi. Kali ini  dengar pula berita mengenai Di Pintu Syurga bakal didangdutkan pula.

Berita itu disampaikan orang kuat Indigital Sdn Bhd yang mengedarkan Di Pintu Syurga. Difahamkan, sebelum ini wakil syarikat dari seberang datang bertemu mereka menyatakan hasrat mahu mendapatkan kebenaran merakam semula lagu itu.

Pada awalnya mereka menganggap ia hanya cakap-cakap kosong, tambah pula tiada susulan dibuat sehinggalah baru-baru ini wakil dari Ridhul Roma menghantar surat permohonan secara rasmi berserta kontrak yang harus ditandatangani kedua-dua pihak.

Katanya, anak penyanyi dangdut terkenal dari Indonesia, Rhoma Irama iaitu Ridhul Roma yang juga mengikut jejak langkah ayahnya menjadi penyanyi dangdut, mahu mendendangkan semula Di Pintu Syurga dalam versi dangdut.

Rakaman semula akan dibuat dan bakal dimuat­kan di dalam album pe­nyanyi muda itu. Lebih daripada itu, khabarnya ada pihak produksi filem di sana turut mahu menjadikan Di Pintau Syurga sebagai runut bunyi.

Jauh juga perjalanan lagu Di Pintu Syurga ya, sampai ke Indonesia dan bakal didangdutkan. Kata wakil itu lagi, Ridhul sudah mende­ngar lagu Di Pintu Syurga di YouTube selepas mendapat tahu ia digilai ramai di Malaysia hingga menarik minatnya untuk didangdutkan.

Harapnya nanti apabila lagu Di Pintu Syurga didangdutkan diterima baik, peminat di sana akan mencari siapa pe­nyanyi asal lagu itu dan secara tidak langsung dapat menjadi jambatan untuk Dayang melangkah dan mencipta nama di negara seberang.

Ibaratnya, tuah ayam nampak di kaki tuah Dayang pada lagu Di Pintu Syurga.

0 Response to "Lagu Dayang Nurfaizah didangdutkan"

Post a Comment