Hazama tidak kelam kabut siapkan album

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hazama enggan tergesa-gesa menyiapkan album mengikut tempoh masa tertentu kerana menginginkan sebuah album berkualiti sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Azmi, 31, berkata, beliau baharu saja selesai merakamkan sebuah lagu ciptaan komposer, Ajai berjudul 'Di Amaran Mama'. Tambah Hazama, pada mulanya beliau agak keberatan menerima lagu itu kerana berbeza dengan lagu nyanyiannya sebelum ini.

 "Saya baru saja selesai merakamkan lagu ciptaan Ajai yang akan dijadikan single terbaharu saya. Jujur saya katakan kurang gemar dengan lagu itu kerana berbeza dengan jiwa saya, namun saya tertarik dengan bait-bait lagu itu. Lagu ini adalah kelainan yang bakal saya tampilkan.

 "Bercerita mengenai album pula, saya tidak mahu tergesa-gesa menetapkan jangka masa untuk mengeluarkan album itu. Saya mahukan hasil yang memuaskan hati dan tidak menyekat kreativiti komposer yang ingin menyumbang lagu untuk album itu nanti. "Biarlah meskipun album itu siap pada akhir tahun depan sekalipun, yang penting hasilnya itu berkualiti.

Saya mahu memberikan yang terbaik buat peminat dan tidak ingin memberikan album tangkap muat untuk halwa telinga mereka," katanya kepada BH Online.

Pelantun lagu Relakan Jiwa itu menjelaskan, beliau lebih selesa menggunakan karya komposer berbakat untuk dimuatkan dalam album terbaharunya. Tegas Hazama, beliau menyedari tahap kebolehannya mencipta lagu dan memilih untuk menyerahkan kepada mereka yang lebih pakar.

Sementara itu, Hazama turut meluahkan rasa teruja bakal mengadakan showcase solo pertama pada 20 Disember ini bertempat di Hard Rock Cafe, di sini. "Selain showcase untuk pelancaran album pertama dulu, kemunculan saya di Hard Rock kali ini memberikan seribu makna kerana diberikan kesempatan untuk beraksi di pentas seorang diri.

Saya akan menjemput Zamani Slam untuk berkongsi pentas bersama saya kerana begitu meminati vokalnya. "Peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya.

Penonton yang hadir bukan saja akan dihiburkan oleh lagu-lagu yang dipopularkan oleh saya, malah akan dapat mengenali diri saya dengan lebih dekat lagi," kata Hazama. Dalam perkembangan lain, Hazama turut tercalon berentap di pusingan separuh akhir Muzik Muzik mempertaruhkan dua lagu iaitu Sampai Mati dan Al Nuraa nyanyian bersama Mawi dan Daly Filsuf.

0 Response to "Hazama tidak kelam kabut siapkan album"

Post a Comment