Siti Nordiana terima cabaran

KUALA LUMPUR: Sekitar tahun 1990, nama penyanyi ini antara yang meletup ketika itu. Bahkan lagu-lagu popularnya seperti Cinta Hanya Sandaran, Kasihmu Seakan Berubah dan lagu duetnya bersama Allahyarham Achik Spin, Gurauan Berkasih sentiasa menjadi siulan anak muda.

Pun begitu, dek kerana kemajuan dan perubahan genre muzik, lagu-lagu tangkap leleh semakin berkurangan kini dan membuatkan penyanyi ini terus tenggelam dalam dunia seni suara.

Di zaman kegemilangannya pasti ramai yang tidak tahu empunya nama Siti Nordiana Alias ini telah menghasilkan 11 buah album termasuk album solo, duet dan kompilasi.

Mengakui bukan mudah untuk menembus pasaran muzik kini, katanya yang mesra di sapa Nana, kerana itu dia merebut peluang untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza tahun ini.

“Apabila diberi tahu bahawa saya telah terpilih menyertai program tersebut, memang saya terkejut.

“Malah saya sangat teruja sementelah ini peluang saya untuk kembali bersinar dan memiliki peminat baru dalam industri kini,” katanya.

Jelas Nana, ia juga merupakan platform terbaik baginya untuk memperkenalkan namanya kepada generasi baru.

Berkongsi perasaannya, akui Nana, dia tetap gementar untuk beraksi di pentas Gegar Vaganza kerana semua peserta adalah sangat hebat.

“Bagaimanapun, saya sahut cabaran ini untuk membuktikan saya masih boleh menyanyi seperti dahulu.

“Lagi pun selama ini, saya masih aktif tetapi hanya kurang keluar di televisyen,” katanya.

Menerusi program itu, ujarnya, pelbagai genre lagu akan dipertaruhkan.

“Di sinilah peluang saya untuk menyanyikan lagu-lagu baru yang mungkin akan menambat hati pendengar muda,” katanya yang muncul bersama lagu Paling Comel pada konsert pengenalan Gegar Vaganza Ahad lalu.

Selain Nana, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir (Ukays), Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Ezlynn, Zul (Handy Black) dan  Ezad Lazim.

Sukar cari pengganti

Tidak terlepas berbicara mengenai sisi peribadinya, kata Nana, buat masa sekarang dia lebih selesa bersendiri kerana bukan mudah untuk mencari pengganti.

“Saya sendiri belum punya keyakinan mendirikan rumah tangga buat kali kedua walaupun sudah bergelar ibu tunggal sejak enam tahun lalu.

“Lagi pun, saya bimbang jika anak saya akan berasa tersisih dengan kehadiran orang baru,” kata ibu kepada Ryyan Nakhaie itu.

Tambah penyanyi berusia 31 tahun itu, dia juga tidak cukup kuat mengharungi perkahwinan kali kedua kerana pernah bercerai sebelum ini.

“Kalau boleh biarlah perkahwinan itu nanti akan kekal ke akhir hayat,” katanya.

Sebelum ini Nana pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Allahyarham Faizal Yusop sebelum bercerai pada tahun 2009.

Selain itu, jelasnya, dia hanya akan memikirkan soal kahwin selepas anaknya itu berusia sembilan tahun.

“Sekarang saya mahu memberikan sepenuh perhatian kepadanya, lebih-lebih lagi, sayalah ibu dan sayalah ayahnya selama ini,” katanya.

0 Response to "Siti Nordiana terima cabaran"

Post a Comment