Dato' Rosyam Nor kecewa filem tidak berapa laris

KUALA LUMPUR: Akui kecewa dengan kutipan filem terbitannya, Isyarat Cinta yang hanya mengutip lebih RM800,000, bintang filem terkenal, Datuk Rosyam Nor bagaimanapun enggan berterusan ‘mengibarkan bendera putih’ dalam menghasilkan filem terbaharu selepas ini.

"Pastinya kecewa. Tapi, apabila memikirkan masih banyak filem lain yang kurang bernasib baik, saya tetap bersyukur.

"Bagaimanapun, saya puas hati dengan karya Bade Azmi dan pelakon yang ada di dalam filem itu," katanya.

Menurut Rosyam, dia bakal menerbitkan sebuah filem baharu arahan Silver Chung iaitu Rempit Sampai Langit gandingan Ajak Shiro dan Nabila Huda yang kini memasuki proses teknik imej penjanaan komputer (CGI).

"Selain itu, skrip filem Appointments With ALLAH  sedang giat disiapkan ketika ini.

"Pada masa sama, saya juga sedang sibuk menyiapkan beberapa telefilem dan drama terbaru antaranya Badai CintaMu untuk TV AlHijrah, Aliff Imani (TV9) dan Tersuka Tanpa Sengaja (Astro)," katanya yang akan kembali terlibat dalam Tribute P Ramlee musim ketiga.

Seronok dapat cucu

Hampir dua tahun bergelar datuk kepada cucu sulungnya, pemilik nama sebenar Mohd Noor Shamsuddin mengakui seronok merasai pengalaman itu.

Mengulas lanjut mengenainya, teraju utama filem KL Menjerit ini menganggap kedatangan Hanan Adraa Mohd Hafiz adalah satu rahmat buat dirinya dan keluarga.

"Alhamdulillah, saya seronok dengan kehadiran Hanan. Lebih bersyukur apabila saya dikurniakan cucu dalam usia yang belum menjangkau 50 tahun.

"Oleh itu, saya masih lagi punya tenaga untuk mendukung dan bermain dengannya apatah lagi Hanan kini sudah boleh berjalan dan berlari serta bergurau," katanya.

Hanan Adraa merupakan cucu sulung Rosyam hasil perkahwinan anak sulungnya, Arniesha Azureen dengan Mohd Hafiz Mohd Said pada 12 Mei 2013.

Jelasnya, pengalaman itu memberinya 1,001 keseronokan sementelahan Hanan cucu pertama dalam keluarga pelakon berusia 48 tahun itu.

"Memanglah cucu saya tetapi anak orang, nak jentik pun tak berani sebab anak orang.

"Orang lain nampak macam saya lebih sayangkan cucu padahal sama saja. Barulah saya tahu sayang cucu dan anak adalah dua perkara berbeza," katanya.

0 Response to "Dato' Rosyam Nor kecewa filem tidak berapa laris"

Post a Comment