Dayang cuba sentuhan komposer baru

Selepas kejayaan lagu Di Pintu Syurga, penyanyi popular Dayang Nurfaizah mengakui dia turut berdepan dengan tekanan untuk menghasilkan lagu baru yang setanding dengannya.

Apatah lagi, lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu turut menjuarai tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) lalu.

Justeru, tidak hairanlah penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini mengambil tempoh kira-kira setahun untuk muncul dengan single keduanya berjudul Tak Pernah Menyerah.

Kali ini, pemenang Vokal Terbaik AJL29 ini bekerjasama dengan komposer muda berbakat besar iaitu Akid dan liriknya pula hasil sentuhan Poji Samad.

Bergelar penyanyi hebat dan popular bukan bermaksud Dayang tidak berminat bekerjasama dengan komposer baru.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Dayang Nufaizah Awang Dowty berkata, dia juga tidak kisah bekerjasama dengan komposer baru seperti Akid untuk single terbarunya itu.

“Sepanjang tempoh mencari bahan untuk single terbaru, saya turut menyenarai pendek banyak lagu yang diterima, tetapi akhirnya saya pilih lagu ciptaan Akid.

“Akid juga pernah mencipta lagu untuk penyanyi Nomad sebelum ini.

“Apa salahnya, saya beri peluang kepada komposer baru seperti Akid. Sebagai penyanyi berpengalaman, saya juga ingin mendapat sentuhan segar daripada komposer baru.

“Sama ada komposer baru atau lama, apa yang penting apabila mendengar lagu itu, saya terus suka dengan melodinya,” katanya.

Lebih memberangsangkan, kata Dayang, single terbarunya itu mula menjuarai carta radio dan mendapat tempat serta sering dimainkan stesen radio tempatan.

“Alhamdulillah, setakat ini lagu Tak Pernah Menyerah mendapat sambutan sangat positif daripada peminat.

“Sama ada lagu ini sehebat di Pintu Syurga atau tidak, saya serahkan pada penilaian peminat,” katanya.

Ditanya sama ada lagu Tak Pernah Menyerah ada persamaan dengan Di Pintu Syurga, Dayang berkata, ia dua lagu genre ballad yang berlainan.

“Bagi saya dua lagu ini memiliki keistimewaan tersendiri dan susah untuk dibandingkan antara satu sama lain.

“Sebagai penyanyi, pasti saya mengharapkan lagu Tak Pernah Me–ngalah impaknya sehebat atau lebih baik daripada Di Pintu Syurga,” katanya.

Kata Dayang lagi, mungkin lagu Tak Pernah Menyerah ada persamaan dari segi irama balad, tetapi ia tetap berbeza daripada Di Pintu Syurga.

“Lagu ini menceritakan mengenai seseorang yang tidak pernah mengalah dalam mempertahankan cintanya.

“Ia juga memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik pendengar,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai penyanyi yang lebih sedekad berkecimpung dalam bidang nyanyian, Dayang turut menyimpan hasrat untuk mencipta lagu sendiri satu hari nanti.

“Sebenarnya, saya sudah lama menyimpan hasrat untuk buat lagu sendiri, tetapi masih belum kesampaian.

“Buat masa ini, saya masih mencari idea untuk menghasilkan lagu baru.

“Saya juga pernah bekerjasama dan kongsi idea dengan komposer lain dalam menghasilkan lagu, tetapi tidak berani lagi untuk buat lagu sendiri sepenuhnya,” katanya.

0 Response to "Dayang cuba sentuhan komposer baru"

Post a Comment